selamat datang~ahlan wasahlan~welcome to my blog



BISMILLAH-ANIMATION.gif

JUHA 'MR. BEAN' ZAMAN ABBASIYAH

Nuurul Eiffah Binti Mohamad Noor | Khamis, 18 Mac 2010 8:04 PG

Juha Membalas Dendam


Suatu hari aku telah bersetuju dengan beberapa orang sahabatku iaitu untuk mengadakan satu pertandingan. Jika aku dapat mengalahkan mereka, maka mereka kena menjamu aku makan dengan satu hidangan yang sedap-sedap dan bermacam-macam makanan. Dan jika aku yang kalah maka akulah yang kena jamu mereka makan.

Dengan satu syarat iaitu aku di kehendaki duduk di satu kawasan yang lapang di waktu malam di musim sejuk dan mereka tidak akan mengawasi aku bermakna aku mesti amanah tidak boleh menipu. Dan ada syarat yang lebih penting lagi iaitu jangan ada langsung tanda-tanda bahawa pada malam itu aku menyalakan api untuk memanaskan badan aku dari kesejukan, ini yang paling penting. Aku pun bersetuju oleh kerana aku yakin bahawa aku akan mampu menyahut cabaran tersebut dan aku berjanji akan benar-benar menepati syarat-syarat sebagaimana yang telah ditentukan. Maka pada malam itu aku pun berbuat sebagaimana yang telah diminta kepadaku.

Kemudian pada keesokan paginya mereka pun beramai-ramai datang menemui aku dan meminta kepadaku agar menceritakan apa yang telah berlaku pada malam tadi dengan amanah dan jujur. Aku pun menceritakan kepada mereka: “Sesungguhnya pada malam tadi tidak ada yang aku dengar melainkan desiran dedaunan pokok yang ditiup angin. Selain itu aku juga mendengar tiupan angin yang agak kencang hingga menyebabkan aku merasakan kedinginan yang sangat dan juga aku terlihat dari kejauhan iaitu lebih kurang sebatu di depanku kelihatan api yang aku rasakan mungkin itu longgokan api.”

Tiba-tiba salah seorang dari mereka bangun dan berkata: “Bukankah kita dah berjanji jangan langsung kamu menyalakan api ataupun ada apa-apa unsur yang boleh mendatangkan kepanasan bagi kamu, bermakna api itu dapat memanaskan badan kamu dan kamu telah menyalahi syarat perjanjian kita!” Bangun seorang lagi, dia juga berkata, menguatkan kata-kata kawannya itu tadi dan akhirnya mereka memberi keputusan akulah yang kena menyediakan kepada mereka makanan yang sedap-sedap. Aku pun bersetuju tanpa banyak cakap. Maka tibalah pada hari yang ditetapkan iaitu mereka akan ke rumahku untuk menjamu selera, sesampai sahaja mereka aku pun mempersilakan mereka masuk.

Setelah agak lama mereka menunggu, perut-perut mereka pula telah berkeroncong, maka terus mereka bertanya kepadaku: “Wahai Juha...! mana dia hidangan, kami dah lama menunggu ni?” Oleh kerana mereka sudah bertanya, aku pun mengajak mereka ke kebun yang berada di belakang rumahku. Tiba-tiba mereka terkejut kerana melihat sebuah periuk yang besar tergantung di dahan salah satu pokok yang ada di kebunku. Lalu terus mereka bertanya: “Wahai Juha... apa ini?” Aku pun berkata di samping ingin mengenakan mereka: “Takkanlah kamu sudah lupa dulu kamu katakan padaku bahawa aku akan dapat memanaskan badanku yang kesejukan di musim dingin dengan longgokan api yang jauhnya sebatu, jadi sekarang ini di depan mata kamu semua, kamu menyaksikan sebuah periuk yang berisi makanan, takkanlah dia tak boleh masak dengan kepanasan api pelita yang ada di bawahnya yang jaraknya hanya sehasta. Jadi tunggulah sampai ia masak dulu!”


Mana Dia Surat Itu

Pada suatu hari ada seorang yang paling kaya dalam kampungku telah membuat satu jamuan makan yang sangat besar, dihidangi dengan makanan yang sedap-sedap dan lazat. Akan tetapi dia hanya menjemput orang-orang yang besar dan kaya-kaya sahaja samada dari kampung yang sama dan juga dari kampung yang bersebelahan.

Walau bagaimana sekalipun aku berazam untuk turut hadir dalam majlis jamuan itu, walaupun dengan apa cara sekalipun. Jadi si tuan rumah yang kaya raya tadi telah memberitahu kepada khadam yang menjaga pintu agar memastikan setiap para jemputan yang hadir mestilah menunjukkan kad jemputan. Siapa yang tidak membawa kad jemputan yang telah di edarkan, jangan di izinkan masuk. Maka aku pun mendapat satu jalan iaitu aku mengambil sehelai kertas putih dan aku lipatkan seakan-akan lipatan surat. Aku pun pergi ke rumah orang kaya tadi, sampai di pintu rumah dengan seberapa cepat yang boleh aku berjalan dan berkata kepada si penjaga pintu: “Buka... buka laluan!... aku membawa sekeping surat yang penting untuk tuan rumah”

Aku terus masuk ke dalam rumah dan aku dapati bahawa di hadapanku sekarang ini terhidang satu juadah yang amat sedap lagi lazat. Tanpa berlengah terus aku menerkamnya, aku makan semampu yang boleh dan kemudian sambil aku makan, aku serahkan kertas yang aku katakan surat tadi kepada tuan rumah. Dia pun mengambilnya, setelah dilihat terus dia berkata kepadaku dengan pelik: “Mana dia surat tu, ini kertas putih kosong, langsung tak ada apa-apa tulisan?” Aku menjawab dengan mulutku yang penuh dengan makanan: “Oh... minta maaflah wahai tuan, sebenarnya aku datang ke sini tadi dalam keadaan yang tergesa-gesa sehinggakan aku tidak sempat untuk menulis surat ini terlebih dahulu, jadi minta maaflah!”.


Juha Memegang Janji

Pada suatu hari aku telah bertelagah dengan isteriku tentang giliran untuk mengikat serta memberi makan kepada keldai kepunyaan kami di kandang. Akhirnya kami mengambil keputusan siapa yang mula bercakap selepas ini, maka dialah yang mesti pergi ke kandang untuk mengikat serta memberi makan keldai.

Maka aku dan isteriku terus duduk di dalam rumah, masing-masing mendiamkan diri tidak mahu bercakap. Setelah lebih kurang sejam lamanya isteriku pun menjadi bosan, lalu dia terus keluar dari rumah pergi ke salah sebuah rumah jiranku, jadi tinggallah aku sendirian. Tidak lama kemudian aku terdengar satu suara seakan-akan ada perompak masuk ke dalam rumahku. Maka aku pun nak melaungkan suara untuk meminta tolong, tiba-tiba aku teringatkan perjanjian dengan isteriku tadi, terus aku tak jadi nak menjerit. Aku pun terus duduk dan langsung tidak bergerak-gerak. Perompak tersebut terus masuk ke dalam bilikku, mulalah dia menggeledah sana sini, sebelum itu dia terpandang ke arahku dan dia menyangkakan bahawa aku diserang penyakit lumpuh sebab langsung tidak bergerak-gerak.

Lalu terus dia mengambil apa yang boleh diambilnya, apa saja yang dapat dicapai oleh tangannya dia memasukkan ke dalam karung yang dibawa. Kemudian sebelum perompak itu meninggalkan rumahku dia datang menghampiri aku lalu mengambil serban yang ada di kepalaku dan kemudian dia terus lari menghilangkan diri. Aku langsung tidak bergerak-gerak ataupun berkata apa-apa sebab berpegang pada janji aku dengan isteriku. Tidak lama selepas itu datang seorang anak jiran rumahku kerana isteriku telah menyuruhnya agar membawakan untukku semangkuk bubur supaya aku tidak mati kelaparan. Aku pun memberi isyarat kepada anak jiranku itu bahawa serbanku dan seluruh perkakas rumahku telah dicuri perompak.

Bila dia melihat aku memberi isyarat sedemikian, disangkanya aku berkata: “Tuangkanlah bubur itu ke atas kepalaku!” Habis basah kuyup aku dibuatnya. Tiba-tiba si budak tadi terus faham dengan apa yang telah aku isyaratkan kepadanya, tanpa berlengah terus dia berlari serta memanggil-manggil isteriku. Isteriku terus datang untuk melihat apa yang telah berlaku... bila dia terlihat terus dia berkata kepadaku dalam keadaan terperanjat serta marah: “Apa yang telah berlaku ke atasmu wahai Juha... suamiku?” Aku pun terus melompat bangun dari tempatku dan kukatakan kepadanya: “Ha!... kamu yang mula bercakap, jadi kamulah yang kena pergi ke kandang untuk mengikat dan memberi makan si keldai tu nampaknya, cepatlah pergi...! dan janganlah kamu berdegil lagi!”

Belakang Bererti Hadapan

Abu Bakar Al-Kalbi menceritakan pengalamannya ketika bertemu dengan Juha* di Kufah. Ketika itu dia sengaja datang ke Kufah untuk pergi ke rumah hakim. Sesampainya di sana dia berjumpa dengan seorang syeikh sedang duduk berjemur di panas matahari.

“Wahai Syeikh! Di mana rumah tuan hakim?” Tanya Abu Bakar Al-Kalbi kepada Syeikh itu..

“Wara’aka (di belakangmu).” Jawab Syeikh itu.

Maka Abu Bakar pun berpatah balik ke belakang untuk mencari rumah yang dimaksud.

“Subhanallah, mengapa engkau berbalik ke belakang?” Tegur Syeikh itu tiba-tiba..

“Tuan kata “di belakangmu”, jadi saya balik ke belakanglah.” Jawab Abu Bakar..

“Dengarlah saudara. Ikramah telah mengkhabarkan kepadaku dari Ibnu Abbas mengenai firman Allah ....”

Lalu Syeikh itu membaca surah Al-Kahfi, ayat 79 yang ertinya: “Kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mengambil setiap perahu dengan paksa.”

“Ikramah berkata,” Kata syeikh itu lagi. “Di belakang mereka maksudnya di hadapan mereka.”

Barulah Abu Bakar Al-Kalbi faham bahawa rumah tuan hakim yang sedang dicarinya ada di hadapannya.

“Subhanallah......” Kata Abu Bakar kagum.

Kemudian dia bertanya: “Syeikh ini Abu siapa......?” .

“Abul Ghusn.” Jawabnya..

“Nama yang sebenar?” Tanya Abu Bakar lagi. .

“Juha.” Jawabnya.

*** Ubbad bin Suhaib juga menceritakan pengalaman yang sama dengan Abu Bakar Al-Kalbi ketika datang ke Kufah. Dia datang ke kota itu untuk mendengarkan tilawah Al-Quran dari Syeikh Ismail bin Abi Khalid. Ketika dia sedang tercari-cari tiba-tiba bertemu dengan seorang Syeikh sedang duduk-duduk. “Wahai syeikh, di mana rumah Ismail bin Abi Khalid?” Tanya Ubbad bin Suhaib. “Terus ke belakang.” Jawab orang tua itu. “Jadi aku mesti berpatah balik?” Tanya Ubbad. “Aku cakap di belakangmu, mengapa mesti berpatah balik.” “Tuan cakap wara’aka, bererti kan di belakangku.” Kata Ubbad bin Suhaib. “Bukan begitu. Ikramah telah mengkhabarkan kepadaku tentang firman Allah “Wa kana wa ra’ahum”, maksudnya “di hadapan mereka.” Ubbad kagum akan kecerdikan orang tua itu..“Siapa nama tuan?” Tanya Ubbad.. “Nama saya Juha.” Jawab orang tua itu.


Pekikan Jubah

Abul Hasan menceritakan pula bahawa seorang lelaki telah mendengar suara orang berteriak dan mengadu kesakitan di rumah Juha.

“Aku mendengar suara pekikan di rumah tuan, apa gerangan?” tanya lelaki itu kepada Juha.

“Jubahku jatuh dari atas rumah.” jawab Juha.

"Err..hanya jubah jatuh pun sampai terpekik-pekik?”

“Engkau ini bodoh. Jika engkau sedang memakai jubah, dan jubah yang dipakaimu jatuh, bukankah engkau ikut jatuh bersamanya?” kata Juha.


Kubur Di Atas Tanah

Suatu hari seorang jiran Juha meninggal dunia, maka Juha bertanggung jawab ke atas pengkebumiannya. Dia lalu pergi kepada tukang gali kubur untuk memesan sebuah kuburan. Akan tetapi terjadi pertengkaran antara Juha dan tukang gali kubur berkenaan dengan upah menggalinya. Tukang gali kubur meminta upah sekurang-kurangnya lima dirham, dan kalau tidak, dia tidak mahu menggali kubur. Juha tidak setuju akan bayaran sebanyak itu. Tiba-tiba dia pergi ke pasar membeli beberapa biji kayu papan dengan harga dua dirham dan dibawanya ke perkuburan

“Buat apa kayu itu?” tanya orang ramai.

“Tukang gali kubur tidak mahu menggali kuburan kalau tidak dibayar sekurang-kurangnya lima dirham. Aku beli papan ini dengan harga dua dirham sahaja. Aku akan tutup saja mayat jiranku itu dengan papan ini dan akan diletakkan di atas tanah perkuburan. Aku masih untung tiga dirham. Di samping itu, si mayat tidak terkena himpitan kubur dan terhindar dari pertanyaan Malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur. "


Unta Minta Upah?

Suatu ketika Juha pergi keluar untuk membeli gandum. Setelah gandum dapat, lalu dinaikkan ke atas untanya untuk dibawa balik.

Tiba-tiba unta yang dikenderainya lari dengan membawa gandum yang baru digiling itu. Setelah beberapa hari kemudian, Juha menjumpai untanya. Akan tetapi Juha mengelak daripada dilihat oleh untanya.

“Mengapa engkau menyembunyikan diri dari untamu?” tanya seseorang kepadanya.

“Aku khuatir unta itu meminta wang tambang kepadaku. Oleh kerana itulah aku bersembunyi daripadanya.” jawab Juha.

***
Pada suatu musim haji, ayah Juha keluar ke Makkah untuk mengerjakan ibadah haji. Ketika ayahnya akan berangkat, Juha berpesan: “Ayah jangan terlalu lama pergi. Usahakan ada di sini semula pada Hariraya Aidiladha agar kita dapat menyembelih kurban bersama.”


Kambing Ajaib

Semasa remajanya, Juha pernah disuruh ke pasar oleh ayahnya untuk membelikan kepala kambing bakar. Dia pun pergi dan membeli sebuah kepala kambing bakar yang baik dan dibawanya pulang.

Di tengah perjalanan, Juha berhenti dan membuka kepala kambing itu, lalu dimakannya kedua-dua matanya, kedua-dua telinganya, lidahnya dan otaknya. Kemudian sisanya yakni tengkorak- tengkoraknya dibawa pulang dan diserahkan kepada ayahnya.

Sudah tentu ayahnya sangat terkejut kerana kepala tersebut sudah kosong dan bahagian-bahagian lainnya juga hilang.

“Celaka kamu, apa ini?” kata ayahnya..

“Itulah kepala yang ayah minta.” jawab Juha.

“Mana kedua-dua matanya?” tanya ayahnya lagi..

“Ia adalah kambing buta.” jawab Juha..

“Mana kedua-dua telinganya.”

“Kambingnya tuli.” jawab Juha.

“Lidahnya juga tidak ada, ke mana?” tanya ayahnya.

“Kambing itu kelu agaknya.” Jawab Juha.

“Sampai pada otaknya juga tidak ada, ke mana?”

“Kambingnya botak.” jawab Juha.

Ayahnya tidak dapat menerima kepala kambing yang tidak sempurna itu kerana merasa rugi.

“Celaka engkau Juha. Sila kembalikan kepala kambing ini kepada penjualnya, dan tukar dengan yang lain.” kata ayahnya.

“Pemiliknya telah menjual kambing itu tanpa sebarang cacat.” jawab Juha.


Membeli Bangkai

Suatu hari Juha melihat budak-budak mempermain-mainkan seekor burung yang sudah mati.

“Boleh jual kepadaku burung itu?” Tanya Juha.

“Burung sudah mati akan engkau beli, buat apa?” Tanya budak-budak itu.

“Aku memang ingin memilikinya.”

“Kalau nak juga, sila beli.” Kata budak-budak itu.

Juha membayar burung mati itu dengan harga satu dirham kemudian dibawanya pulang. Sesampainya di rumahnya, ibu hairan dan marah. “Hai Juha! Buat apa kau bawa burung yang sudah jadi bangkai itu?” tanya ibunya.

“Diamlah bu. Jika burung itu hidup, aku tidak sanggup mengeluarkan seratus dirham untuk membeli makanannya.” Jawab Juha.

____________________________________________
(*) Juha Al-Kufi Al-Fazzari, juga dikenali sebagai Abul Ghusn adalah seorang yang terlalu pelupa dan lurus walaupun cerdik, sehingga perjalanan hidupnya banyak yang aneh. Ibunya adalah khadam kepada ibu Anas bin Malik, sahabat Nabi SAW. Al-Jauhari di dalam kitab menamakannya Juha. Pengarang kitab “Al-Qamus” mengatakan bahawa Juha adalah gelarannya, sedang namanya yang sebenar adalah Dajin bin Thabit. Akan tetapi Ibnu Hajar di dalam kitab “Lisanul Mizan” menafikan bahawa Juha adalah Dajin bin Thabit. Selain Juha Al-Kufi yang berbangsa Arab ini, ada lagi orang bernama Juha, tapi berasal dari Turki. Sehingga kadang-kadang kisah kedua-dua Juha itu bercampur.

0 Comments to "JUHA 'MR. BEAN' ZAMAN ABBASIYAH"

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
© Copyright Reserved GemersikSahrawi | Design by: Yoshz | Converted into Blogger Templates by Theme Craft